Hadith Mauquf' dan Marfu'
Thursday, October 25, 2012
Assalamualaikum , Boleh ustaz huraikan apa
yang dikatakan hadis 'mauquf' dan hadith marfu'.Apakah kekuatan kedua dua
hadith ini dan apakah boleh sesaorang itu beramal dengannya?Jazakallah.
Jawapan :
Hadith Marfu' (الحديث
المرفوع)
Ialah hadith yang disandarkan kepada Nabi saw.
Ia perlu dilihat kepada sanad hadith tersebut apakah ia sahih ataupun tidak.
Hadith Mauquf (الحديث
الموقوف)
ialah hadith yang disandarkan kepada sahabat
Nabi saw. Dinamakan Mauquf kerana periwayatannya terhenti setakat sahabat, dan
tidak kepada Nabi saw. Ia dinamakan hadith kerana sangkaan barangkali sahabat
itu mendengarnya dari Nabi saw. Ia juga perlu dinilai terlebih dahulu kesahihan
benarkah ia datang dari sahabat. Setelah dipasti kebenarannya, maka ia pula
terbahagi kepada dua :
Pertama : Hadith mauquf yang ada bukti yang
cukup untuk mendakwanya datang dari Nabi saw. Bukti-bukti tersebut ialah :
1- Hadith tersebut menyebut perkara-perkara
tauqifi (توقيفي)yang
tidak ada ruang untuk akal memikirkannya. Seperti penentuan waktu solat, kadar
zakat, penjelasan tentang sebab turunnya ayat al-Quran, perkara-perkara yang
akan berlaku pada masa akan datang, hal-ehwal akhirat. Sebagai contoh perkataan
Ibn 'Abbad r.a. :
Maksudnya : "(orang-orang Muslimin)
benar-benar akan menghiasi (masjid-masjid) mereka, sepertimana orang-orang
Yahudi dan Nasrani menghiasinya (tempat ibdat mereka)." (al-Bukhari)
Hadith ini walaupun ia hanya terhenti setakat Ibn 'Abbas, Namun ia dihukumkan
sebagai marfu' kepada Nabi saw, kerana mustahil sahabat Nabi mereka-reka cerita
tentang peristiwa yang akan berlaku pada masa akan datang melainkan ia
benar-benar mendengarnya dari Nabi saw.
2- Perkataan sahabat yang mengatakan :
"Adalah kami dahulu melakukan perkara itu di zaman Nabi saw" atau apa
perkataan yang seumpama dengannya. Jika hadith mauquf itu mengandungi perkataan
sebegini maka dia hukumkan sebagai marfu', kerana hadith ini menunjukkan
perkara itu dilakukan berulang-ulang. Maka mustahil perkara yang berlaku
berulang-ulang tidak sampai kep pengetahuan Nabi saw. Apabila perkara itu
menunjukkan ianya sampai ke pengetahuan Nabi saw, namun baginda tidak
mengingkarinya, ia menunjukkan adanya pengakuanatau persetujuan dari baginda.
Maka ia adalah sebahagian daripada sunnah. Sebagai contoh hadith dari Jabir
katanya yang bermaksud :
"Adalah kami (di zaman Nabi saw) Na'zil (نعزل -
mengeluarkan air mani di luar faraj isteri), sedang (ketika itu zaman) al-Quran
diturunkan." (al-Bukhari)
3- Perkataan
sahabat : Kami diperintahkan untuk melakukan perkara itu... atau Kami dilarang
dari perkara itu... atau sahabat mengatakan Daripada sunnah begitu dan
begitu... Contohnya Mus'ab bin Amir berkata : "Aku bersebahyang disebelah
bapa ku (sahabat Nabi saw), lalu aku meletakkan dua tanganku diantara dua peha.
Lalu bapaku melarangku dan berkata : Kami juga dahulu melakukannya, lalu kami
dilarang melakukannya dan kami diperintahkan untuk meletakkan dua tangan diatas
lutut (ketika rukuk)"
Kedua : Hadith mauquf yang membicarakan
perkara yang ada ruang untuk akal memikirkannya. mungkin perkataan sahabat itu
adalah pendapatnya sahaja, bukan dari Nabi saw. Maka ini tidak boleh dijadikan
hujah.
wallahu a'lam.
0 komentar:
Post a Comment